بسم الله الرحمن الرحيم


Tuesday, February 17, 2009

Sambutan Hari Kekasih Salah Disisi Islam

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.


Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.
Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.
Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )
Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.
Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.
Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.
Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :
1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.
2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.
3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.
4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.
5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.
Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.
Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.
Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.
Firman Allah SWT : ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.’ Surah al-Ghaafir: 39

Boikot Barangan Israel dan Amerika

Oleh: Nurzainatul Hajar & Rabiatul Adawiyah

NILAI – Warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) digesa untuk bersama-sama memboikot barangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dalam usaha membela nasib rakyat Palestin yang menderita di Gaza.

Menurut kakitangan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Suhana Baharudin, 29, usaha memboikot barangan ini boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat walaupun sukar.

“Pada awalnya agak susah bagi saya melakukannya, tetapi saya berusaha memboikot satu persatu barangan Israel dan Amerika. Contohnya, saya seorang penggemar Milo tetapi saya mengambil inisiatif menggantikannya dengan Vico,” katanya.

Bagaimanapun, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Haliza A.Shukor, 28, sedih melihat ramai pelajar USIM yang tidak menyokong usaha ini sepenuhnya.

“Walaupun banyak kempen memboikot barangan Israel dilakukan di merata tempat, tetapi masih ada segelintir pelajar USIM yang tidak mempedulikan kempen tersebut”.

“Saya berasa kecewa kerana terdapat pelajar USIM yang tidak sensitif dengan isu ini sedangkan mereka tahu apa yang berlaku sekarang,”ujarnya ketika ditemui.

Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Muhammad Alif Ismail, 24, memberitahu bahawa usaha memboikot ini perlu dilakukan sejak dahulu lagi bukan hanya setelah berlakunya peperangan di Palestin.

“Sepatutnya kita sebagai pelajar Islam perlu sedar dan bertindak dengan lebih awal lagi bagi membantu mengatasi kekejaman yang berlaku”.

“Walaupun bukan seratus peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam mampu memboikot barangan Israel dan Amerika, tetapi sekurang-kurangnya kita mampu memberi tekanan pada mereka dari segi ekonomi,” katanya.





*Berita ini adalah sebahagian daripada USIMTODAY 5th Edition yang ditulis oleh penulis dan rakan. Semoga mendapat manfaat daripadanya.

Monday, February 16, 2009

Fusion Development menangi RM1000

Oleh : Rabiatul Adawiyah & Noor Syazwani

NILAI - Tiga pelajar tahun akhir Kursus Pengajian Quran dan Multimedia berjaya menjuarai Pertandingan Reka Cipta Multimedia anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) melalui hasil kerja mereka iaitu ‘Waktu Solat’. Pertandingan bermula 10 hingga
23 Januari 2009 bertemakan
‘Quran dan Sunnah dalam Multimedia’.

Mohd Syafiq Abu Hanipah, 24, Nor Azmi Jama Rusly, 23, dan Khairul Hazwani Ahmad Tabrani,23 yang menamakan kumpulan mereka “Fusion Development” berjaya memenangi hadiah RM1000 dan menewaskan 24 penyertaan lain dari tiga fakulti berlainan.

Ketua kumpulan tersebut, Mohd Syafiq Abu Hanipah,24 berkata, beliau berasa amat gembira dengan hasil usaha kerja mereka.

“Walaupun terikat dengan jadual dan komitmen masing-masing, kami berjaya menghasilkan satu produk multimedia. Proses menyediakannya amat rumit kerana melibatkan animasi dan interaktif,” katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Dr Kamaruddin Saadan berkata, pertandingan ini bukan sahaja mampu mencungkil bakat-bakat baru dalam menghasilkan produk aplikasi pembelajaran dengan multimedia malah memberi kesedaran akan kepentingan media khususnya dalam perkembangan Islam.

“Kebanyakan aplikasi media kini tertumpu pada kartun dan hiburan. Mungkin pertandingan akan datang, pelajar boleh menghasilkan permainan komputer yang mempunyai unsur-unsur Islam,” kata beliau dalam ucapannya.

Pengarah Pertandingan Reka Cipta Multimedia, Rabiatul Adawiyah Amat @ Ahmad berkata, pertandingan ini dapat melatih para pelajar menguasai kedua-dua bidang Quran dan Multimedia secara bersepadu.

“Jika di dalam kelas pelajar hanya belajar teori sahaja, akan tetapi dengan menyertai pertandingan ini mereka dapat mempraktikkan ilmu tambahan selain dari latihan dalam bilik kuliah, tutorial dan makmal,” ujarnya.



*sebenarnya ini adalah sebahagian berita yang ditulis sendiri oleh penulis dan rakan untuk USIMTODAY 5th Edition.

SPONGEBOB DIJUMPAI DI MALAYSIA

Ana nak kongsi emel yang sahabat ana forward ni;


2-3 hari yg lepas, sedang aku bersiar2 di ibukota, betapa terkejutnya aku bila aku dgn tidak sengaja berjaya menemui watak kartun feveret aku sedang elok2 aje lepak cuti2 Malaysia .. Kerana kasihankan beliau, aku tak mahu la mengganggu beliau yg sedang enak2 aje merehatkan diri beliau selepas penat shooting musim terbaru Spongebob Squarepants..


kesian die penat br habis shooting... (",)




Thursday, February 12, 2009

KENAPA YA??

ADAKAH MASJID KAMPUS USIM DIGAMBARKAN SEPERTI INI? :) -gambar hiasan-

Universiti Sains Islam Malaysia ataupun USIM cukup dikenali lebih-lebih lagi kerana ada title 'Islam' pada namanya. Cukup gah dengan berdirinya Bangunan Canselori di pintu hadapan universiti dan kilauan sinarnya bercahaya tatkala matahari bersembunyi (ayat balaghah tu, nak bagitahu sebenarnya waktu malam.he3x). Rekabentuknya pula seakan-akan Bangunan Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Putrajaya. Mungkin rekaannya diilhamkan berpandukan binaan terbabit. Bukan itu sahaja, keistimewaan Mahasiswa2 USIM pula mereka mempunyai latar belakang pendidikan agama yang tinggi dan 99% pelajarnya adalah Muslim. (Aku turut bangga dengan USIM).

Namun apa yang begitu pelik bagi saya adalah, tiada masjid dibina di dalam kampus tempat kami
menuntut ini! Seperti yang kita maklum, masjid adalah pusat ilmu dan tamadun Islam itu berkembang dan pembinaannya juga bukan sebagai tempat beribadat semata-mata. Dan perlu diingat bahawa membina masjid adalah perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sewaktu berhijrah.

Bagaimana kita ingin menghasilkan mahasiswa yang mampu untuk memberi tazkirah dan menyampaikan ceramah agama di hadapan para jamaah, jika kami tiada ruang untuk berlatih ketika zaman menuntut ini. Kami tidak punya banyak peluang selain dari kuliah atau tutorial, paling ok pun surau kolej kediaman lah.
Adapun begitu, adakah masyarakat dapat menerima seorang ustaz yang ketika zaman belajarnya dulu jarang ke masjid. Kalau yang ada kenderaan untuk keluar masuk, senanglah. Bagaimana kalau tiada, dengan kedudukan kolej kediaman yang jauh dari masjid dan surau pula hanya mampu menyediakan kapasiti yang terhad untuk berkumpul. Pasti akan ada suara2 yang akan mempertikaikan perkara ini.
Masjid merupakan medan dakwah, menyampaikan pendapat, berbincang masalah dan beribadah. Semuanya di masjid. Spertimana seorang musafir, perkara pertama yang akan dicari sewaktu bermusafir adalah masjid. Betul tak?

Saya juga ada berbincang dengan rakan-rakan tentang hal ini dan rata-ratanya turut menyatakan pendapat yang sama. Harapan kami agar masjid dapat dibina di USIM sepertimana di UM,UKM,UIA,UPM dan semua sekali.Apa2 pun saya tidak dapat untuk menolak perkara ini. Mungkin pihak universiti mempunyai alasan yang kukuh kenapa masih tidak membina masjid sehingga kini.
Tapi saya tetap berasa pelik sebab USIM tak ada masjid.........


*untuk seterusnya saya akan meletakkan pendapat2 ramai tentang perkara berbangkit ini. insyaAllah..

Wednesday, February 11, 2009

Kenapa utara tak ditawan portugis???

Kehandalan Hang Tuah dan pahlawan Melayu digeruni pihak musuh walaupun hanya bersenjatakan keris dan tombak

Tolong sebarkan perkara ini (Sejarah Penjajahan Tanah Melayu) kepada kawan kawan kita supaya kita semua dapat kesedaran di sebalik sejarah yang sengaja tak didedah disebabkan agenda tertentu.. Semoga dari pendedahan ini kita mengambil iktibar betapa Ketuanan Melayu disanggah selama ini.....

1508: Alfonso ada al buqurque menyampaikan hasratnya kepada Raja portugis untuk meluaskan pegaruhnya ke Asia Tenggara ( Melaka pusat perdagangan asia tenggara ketika itu) dan juga laluan penting perdagangan timur barat. Raja Portugis bersetuju untuk menyediakan kemudahan bala tentera 158 buah kapal, 15300 ( anggaran) bala tentera

1509: Portugis menghantar perisik ke Melaka untuk mengetahui keadaan kekuatan pertahanan disana

Oct 1511: Alfonso berjaya menawan Melaka setelah berhempas pulas melawan 5 pahlawan melayu terhandal (Hang Tuah, Hang Lekir, Hang Lekiu,Hang Jebat dan Hang Kasturi) ini adalah mimpi ngeri bagi pihak Alfonso, untuk menawan Melaka serta berlawan dengan 5 Hang bersaudara, mereka perlu mendapat askar tambahan setelah 15,000 askarnya terkorban dalam pertempuran selama 6 hari itu dengan 5 Hang bersudara..akhirnya dapat juga menawan Melaka setelah hampir kecewa dan putus asa...

1512: Setahun 2 bulan kemudian Alfonso ingin meluaskan kekuasaannya ke Perlis, Kedah dan P.Pinang, yang ketika itu adalah pusat pengeluaran tebu untuk gula rantau ini...

Feb 1512: Alfonso menghantar perisik ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang untuk mengetahui kekuatan bala tentera di sana mengikut sejarah, perisiknya telah ke kedai kopi sekitar untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan.. .

Seminggu selepas

Feb 1512: Perisik balik ke Melaka untuk memberitakan hasil risikan kepada Alfonso. Di bawah adalah perbualan percakapan antara perisik dengan Alfonso yang selama ini cuba disembunyikan dalam buku sejarah…

Perisik 1.2.3: selamat pagi tuan (sambil bertabik)


Alfonso: selamat pagi


Perisik 1: Begini lah tuan, lupakan saja niat tuan untuk menawan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang


Alfonso: Kenapa kuat sangat kah mereka itu..? ( dengan nada marah dan bongkak)


Perisik 2: Untuk menawan melaka yang mempunyai 5 pahlawan terhandal Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu pun kita kehilangan hampir 15,000 bala tentera, inikan pula kita nak menawan Perlis, Kedah dan P.Pinang yang mempunyai beribu ribu hang..


Perisik 3: betul tu tuan...antaranya

hang sihat, hang buat apa, hang apa habaq, hang lagu mana, hang pergi mana, hang nak pergi mana, hang kat mana, hang singgah dulu, bapak hang, mak hang, adik hang, tok hang dan macam macam lagi hang ada kat sana.....

Mendengar hasil risikan itu Alfonso pun tak jadi nak pergi serang disebabkan pengalamannya sebelum ini bersama 5 pahlawan melayu Melaka amat ngeri....... ini kan pula nak berhadapan beribu ribu hang kat situ… :lol::lol::lol:

Sunday, February 8, 2009

KISAH JENAKA - Puteri Cair!

Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang memerintah di sebuah negara atas angin. Baginda mempunyai seorang puteri yang cantik jelita. Malangnya, baginda kini sedang berduka kerana puteri baginda itu telah mengidap sejenis penyakit yang amat ganjil sekali. Apa sahaja yang disentuh dengan tangan oleh puteri tersebut akan menjadi cair. Tak kira kayu, besi, batu, dan lain-lain lagi, semuanya akan cair apabila disentuh oleh puteri tersebut.

Akibatnya, semua lelaki, tidak kiralah sama ada putera raja atau orang kebanyakan tidak berani mengahwini puteri itu, walaupun mereka terpesona dengan kecantikannya. Maka raja merasa amat risau kerana puteri itulah satu-satunya waris tunggal baginda untuk memeritah negara atas angin itu.

Pada suatu hari, baginda bertanya kepada ahli nujum negara yang bijak bestari. Ahli nujum itu memberitahu baginda bahawa penyakit tuan puteri akan sembuh sekiranya puteri itu menyentuh sesuatu yang tidak akan cair.

Keesokan harinya, raja itu mengumumkan satu pertandingan di mana sesiapa sahaja di kalangan lelaki yang datang ke istana dan membawa suatu barang yang tidak cair apabila disentuh oleh puteri baginda, lelaki tersebut akan dapat berkahwin dengan puterinya dan seterusnya menjadi putera mahkota yang akan mewarisi tahta kerajaan baginda.

Maka, ramai lelaki yang datang membawa pelbagai barangan. Ada yang membawa besi yang paling berat, ada yang membawa batu paling besar, dan ada pula yang membawa kayu paling keras. Malangnya, semuanya cair apabila disentuh oleh tuan puteri.

Akhirnya, datang tiga orang putera raja dari negara jiran. Putera pertama membawa sekeping titanium yang didakwa besi yang paling keras di dunia. Tuan puteri menyentuhnya dan besi itu cair! Putera yang kedua pula membawa seketul batu intan yang didakwa batu paling keras di dunia. Apabila disentuh oleh puteri, batu itu pun cair juga!

Putera terakhir datang dengan penuh senyuman yang meyakinkan dan membawa bersamanya sebuah karung kecil. Dia menyuruh tuan puteri menadah tangan dan dia menuangkan isi karung itu. Seketul benda sebesar ibu jari jatuh ke tangan tuan puteri itu dan ia tidak cair!!! Ini bermakna penyakitnya sudah sembuh. Raja merasa amat sukacita dan seluruh negara berpesta. Putera yang bertuah itu akhirnya berkahwin dengan tuan puteri dan menjadi putera mahkota negara itu.

Anda ingin tahu apakah benda sebesar ibu jari yang tidak cair di tangan tuan puteri itu?

JAWAPANNYA IALAH .... COKLAT M&M's!!! Ia hanya cair di dalam mulut, bukannya di dalam tangan!!! Kah! Kah! Kah!

:lol: :lol: :lol:

Friday, February 6, 2009

BERITA MUTAKHIR UTK RAKYAT PERAK








ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, dinamakan sebagai Menteri Besar Perak yang baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM, Subang sekembali mengadap Sultan Perak, petang semalam. - Gambar fail.

Feb 6, 2009 10:15 am
(Sumber: Berita Harian Online)

Aduhai 4 Orang Isteriku!



Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini. Aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal. Aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang. Aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini. Aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu. Aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!